Warga APM beri penghormatan terakhir buat mendiang Cuthbert John Martin

Bernama
Jun 15, 2022 06:30 MYT
Norhafifi (kanan) memberikan penghormatan terakhir ke atas mendiang Cuthbert John Martin di Melaka malam tadi. --fotoBERNAMA
MELAKA: Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pengarah jabatan kerajaan negeri Melaka hadir memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra di Tengkera di sini malam tadi.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Dr Norhafifi Ismail, Komandan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan Lt Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman, Pengarah APM Kelantan Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Melaka Norazlee Sulaiman.
Turut hadir pada upacara itu ialah adik bongsu mendiang Rovena Devra Quadra, 43, dan sepupunya Petronella J.J Hussin, 47.
Upacara penghormatan terakhir itu berlangsung bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi sebelum jasad Cuthbert John Martin, 47, dibawa untuk proses penghantaran pulang ke kampung halamannya di Singgah Mata, Keningau, Sabah pada 8 pagi ini menggunakan penerbangan Malaysia Airlines.
Norhafifi berkata jasad mendiang dibawa ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur secara konvoi dengan bantuan pelbagai pihak termasuk APM dan Polis Diraja Malaysia kira-kira 12 tengah malam.
"Di kampung halaman beliau, semua prosedur atau keperluan untuk proses pengebumian seperti khemah dan kelengkapan lain telah disediakan. Satu lagi upacara penghormatan terakhir akan dijalankan di Sabah dan mendiang dijangka disemadikan kira-kira 10 pagi pada Sabtu.
"Setakat ini semua proses pengurusan pengebumian mendiang berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak dan bagi APM, kami mengucapkan terima kasih terutama kepada kerajaan negeri Melaka khususnya Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada upacara tersebut.
Mengulas tentang Cuthbert John Martin, Norhafifi berkata mendiang seorang pegawai yang ceria, mudah mesra dengan orang ramai, sentiasa bersemangat, berdedikasi dan disenangi pelbagai pihak terutama dalam kalangan warga APM.
Mengimbas pertemuan terakhir beliau bersama mendiang ketika jamuan Hari Raya Aidilfitri APM pada minggu lepas, beliau berkata tiada perubahan ketara selain badan mendiang kelihatan kurus berbanding sebelum ini.
"Saya ada bertanya kepada mendiang kenapa nampak kurus tetapi beliau hanya memaklumkan dia kurang makan sikit untuk menjaga BMI (berat badan ideal) dan memang dalam APM, BMI adalah penting untuk memastikan anggota dan pegawai sentiasa cergas.
"Pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang besar buat APM dan kami masih terkejut dengan keadaan yang menimpanya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mendiang mendapati punca kematiannya adalah disebabkan tumor mediastinum.
Pada Selasa, media melaporkan mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka ketika mendapatkan rawatan kira-kira 10 pagi selepas rebah di pejabatnya di Ayer Keroh di sini kira-kira 8 pagi.
Beliau pernah berkhidmat di APM Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021.
-- BERNAMA
#Cuthbert John Martin Quadra #penghormatan terakhir #APM #tumor mediastinum
;