Wardina Safiyyah tidak setuju salib Taman Medan diturunkan
Astro Awani
April 21, 2015 11:04 MYT
April 21, 2015 11:04 MYT
Personaliti TV Wardina Safiyyah menjadi tumpuan di media sosial susulan kenyataannya pada laman Facebook peribadinya yang mengatakan beliau tidak bersetuju agar lambang salib di sebuah gereja yang menimbulkan kontroversi di Taman Medan diturunkan seperti yang diminta oleh kira-kira 50 penduduk di situ, pada Ahad.
Wardina dalam postnya pada Isnin itu turut menganggap perbuatan penunjuk perasaan adalah ibarat membuli penganut agama Kristian di situ.
“Saya harap salib itu dibiarkan di situ. Jangan diturunkan. Saya bersimpati kepada saudara beragama Kristian. Saya minta maaf kerana anda dibuli oleh saudara seIslam saya.
“Orang Islam sejak berabad dulu termasuk semasa zaman Rasulullah SAW telah hidup secara harmoni dengan orang beragama Kristian. Saya sayangkan saudara saya yang beragama Kristian,” tulis Wardina lagi.
Wardina yang ketika ini berada di Australia kerana menyambung pengajiannya berkata, beliau memahami perasaan golongan minoriti di sana.
“Saya faham perasaan menjadi golongan minoriti. Saya tahu betapa sukarnya jika dibuli kerana kepercayaan kita. Apabila orang bukan Islam menyokong orang Islam di Australia, perkara itu sudah membawa makna yang cukup besar untuk kami semua di sini,” kata Wardina.
Wardina turut mengatakan bahawa sikap ‘samseng’ yang ditunjukkan oleh segelintir orang Islam dalam video protes tanda salib tersebut sebagai ‘hodoh’.
Ahad lalu, kira-kira 50 penduduk Taman Medan di Petaling Jaya berhimpun di hadapan sebuah bangunan lot kedai iaitu berdekatan dengan lokasi sebuah gereja baru di sana dan menuntut agar tanda salib besar di premis itu diturunkan.
Bantahan yang berlangsung di Taman Medan itu diibuat atas alasan tanda salib itu mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam.
Pihak gereja bersetuju menurunkan lambang salib gergasi yang dipasang pada tingkap gereja yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai itu selepas bantahan dibuat.
Astro AWANI cuba menghubungi Wardina untuk mendapatkan penjelasan lanjut, namun beliau gagal dihubungi.