Warden tidak mengaku bersalah pukul, dera pelatih

Adie Sufian Zulkefli
Disember 31, 2018 12:51 MYT
Ketiga-tiga warden didakwa mengikut Seksyen 324 dan dan 323 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
Tiga tenaga pengajar sebuah pusat pemulihan akhlak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas enam pertuduhan melakukan kesalahan memukul dan mendera dua pelatih pada November lalu.
Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun minta dibicara selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.
Sebelum ini, ketiga-tiga pengajar yang juga warden Teratak Tautan Kasih Murabbi tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan membabitkan pelatih pusat itu namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun, setelah kertas siasatan selesai, ketiga-tiga warden itu didakwa mengikut Seksyen 324 dan dan 323 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 29 November lalu, dua bekas pelatih membuat laporan dikasari termasuk digari, dibelasah dan dikurung dalam kurungan seperti sel, sebagai hukuman, sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan serius.
BACA: Dua pelatih dakwa dibelasah warden
Mangsa Muhammad Aizat Haizzat Haikal Hamdan, 18 tahun, dan rakannya Muhamad Hafizul Sharudin, 22 tahun, mendakwa mereka dipukul tiga warden yang ketika itu memberi alasan ingin menyoal siasat atas kejadian pelatih melarikan diri dari pusat jagaan itu.
Mereka mendakwa, sejak menjadi penghuni di pusat itu lima bulan lalu, kesemua pelatih tidak dibenar keluar dari pusat terbabit, kononnya perlu mengikuti rawatan dan pemulihan ala tentera.
Kedua-dua pelatih itu bagaimanapun diselamatkan anggota keluarga yang datang mengambil mereka di pusat terbabit.
#dera #mahkamah #Mahkamah Majistret #mangsa #melarikan diri #pelatih #pemulihan #pengajar #pukul #pusat pemulihan akhlak #rawatan #siasatan #Sungai Petani #tentera #Teratak Tautan Kasih Murabbi #warden
;