Warden pusat jagaan mengaku tidak bersalah rogol penghuni

Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2021 11:48 MYT
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang warden pusat jagaan swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan merogol seorang penghuni pusat itu Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Irang @ Suhiran Aris, 43 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim N. Pricilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang berumur 33 tahun, apabila mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada perlakuan jenayah berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di pusat jagaan itu di Taman Kinding Raya, kira-kira jam 8.20 pagi, 28 Oktober 2020.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat dan dikenakan pengawasan polis antara satu hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam Datin K. Shamini.
#Mahkamah Sesyen #rogol #penjara #Ipoh #pusat jagaan #OKU #warden
;