Warden, pelatih Puspen didakwa membunuh
Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2023 11:00 MYT
Februari 8, 2023 11:00 MYT
SUNGAI SIPUT: Seorang warden dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak pada Rabu, atas tuduhan membunuh seorang pelatih lain, minggu lalu.
Warden, Nur Aslam Faizal, 35 dan pelatih Suffian Effendy Kadri, 30, mengangguk faham selepas tuduhan terhadap mereka dibaca serentak di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang pelatih lain, Mohd Ali Mohd Nor, 50.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Puspen Perlop, kira-kira jam 10.30 pagi, 31 Januari lalu.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.S Vitthiyeswary manakala Nur Aslam diwakili peguam Keshvinder Singh tetapi Suffian Effendy tidak diwakili peguam.
Suasana hiba menyelubungi kamar mahkamah apabila Nur Aslam menangis teresak-esak selepas dibenarkan bertemu kaum keluarga selama lima minit.
Pada 31 Januari lalu, media melaporkan seorang pelatih serta tiga kakitangan Puspen Perlop, ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu, yang disyaki dibunuh.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati, kecederaan pada belakang badan mangsa akibat dipukul menggunakan objek tumpul.