Warden maut terperosok bawah treler
Bernama
Jun 10, 2019 22:01 MYT
Jun 10, 2019 22:01 MYT
Seorang warden sebuah rumah anak yatim maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh lalu terperosok di bawah treler di Kilometer 129, Jalan Kuantan-Johor Bahru, di Rompin, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Zainal Omar Mahamud, ketika dihubungi, berkata, mangsa Mohammad Zulfarhan Saidi, 22, yang menunggang motosikal Kawasaki ERCF disahkan meninggal di tempat kejadian.
Beliau berkata dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak treler yang sedang keluar dari pusat pengumpulan kelapa sawit Sungai Puteri untuk menuju ke Endau, Johor.
Menurutnya, pemandu treler berusia 42 dari Mersing, Johor, bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan.
Katanya, jenazah mangsa yang berasal dari Sungai Puteri dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
#cedera
#jenazah
#mangsa
#maut
#motosikal berkuasa tinggi
#polis
#Rompin
#rumah anak yatim
#treler
#warden