Warden asrama didakwa liwat, cabul pelajar tahfiz direman semula
Bernama
Mei 25, 2019 19:14 MYT
Mei 25, 2019 19:14 MYT
Seorang warden asrama yang didakwa meliwat dua pelajar selain mencabul tiga pelajar lain di sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat di sini, bulan lalu, direman semula, bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Nurul Hafzan Ab Aziz.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata, suspek berusia 28 tahun itu direman semula susulan laporan polis kedua dibuat mangsa yang juga pelajar di pusat tahfiz tersebut pada 9 Mei lepas.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mei,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wari berkata suspek sebelum ini pernah direman berhubung laporan polis yang dibuat seorang kakitangan pusat tahfiz berkenaan, juga pada 9 Mei, selepas seorang pelajar membuat aduan kepadanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat manakala tiga pelajar lagi mendakwa dicabul warden asrama mereka sepanjang berada di pusat tahfiz berkenaan.
Perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas seorang daripada mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden berkenaan.
Mangsa turut mendakwa suspek mengugut untuk memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan. -- Bernama