Waqaf Korporat: Instrumen menjana kekayaan, merapatkan jurang ekonomi rakyat
Mohsein Shariff
April 25, 2019 19:20 MYT
April 25, 2019 19:20 MYT
KETIKA pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke -11 (RMK-11) 2016-2020, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan dalam Agenda Pembangunan Nasional, Kerajaan Malaysia Baharu tidak akan menilai pembangunan dari sudut pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Kerajaan akan lebih telus dan adil dengan membina kekuatan ekonomi di kalangan rakyat serta berusaha mengurangkan jurang pendapatan yang besar di antara semua golongan pendapatan dan etnik kaum.
Agenda Nasional ini akan memperjuangkan falsafah Kemakmuran Bersama atau ‘Shared Prosperity’ yang mengalas agenda Malaysia Baharu untuk membangunkan negara Malaysia yang inklusif dengan keadilan ekonomi yang saksama untuk semua bagi merapatkan jurang ekonomi rakyat yang semakin melebar.
Agenda ini adalah satu cabaran besar buat penggubal dasar melihatkan keadaan sosio ekonomi di Malaysia begitu ketara jurang pengagihan pendapatan dan kekayaan isi rumah.
Apatah lagi, kaum bumiputera terus menjadi masyarakat terkebelakang walaupun merupakan komposisi kaum terbesar di Malaysia.
Dengan keadaan 80 peratus kaum bumiputera masih berfikiran secara konservatif dan tradisional, maka agenda nasional yang inklusif harus meletakkan agenda ekonomi bumiputera menjadi sebahagian daripada falsafah kemakmuran bersama.
Dengan pemahaman yang jelas tentang situasi sebenar ekonomi bumiputera, maka retorik perkauman dan politik akan dapat dihindarkan dan kerajaan dapat terus fokus dengan agenda pembangunan negara.
Melalui falsafah kemakmuran bersama ini, apa yang dicitakan adalah Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur pada tahun 2030 dengan mempunyai keupayaan untuk terus membangun dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai merangkumi semua golongan kelas, kaum dan geografi sehingga wujudnya nilai keharmonian dan kesatuan di kalangan rakyat yang membawa kepada kesatuan negara bangsa.
Ini amat selari dengan objektif Rukun Negara untuk mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama.
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) percaya kemakmuran bersama ini akan lebih bermakna sekiranya institusi ekonomi Islam seperti waqaf turut diterima sebagai instrumen yang dapat membina sumber kekayaan negara yang akhirnya nilai tambah waqaf dapat diagihkan secara saksama kepada seluruh ummat tanpa mengurangkan ‘ain’ dana waqaf tersebut.
Melalui instrumen waqaf korporat, DPIM yakin usaha memangkinkan ekonomi dengan memberi kesamaan peluang memiliki saham-saham korporat melalui kuasa dana waqaf masyarakat akan menjadi pencetus kepada ‘ummatic economy’ yang akan menjadi kuasa ketiga dalam membantu menjana pendapatan negara selain dapat mempertahankan syarikat korporat dari kerakusan nafsu-nafsi kapitalis moden.
Sejarah telah membuktikan bahawa dengan perlaksanaan instrumen waqaf, banyak manfaat dan kebaikan dikongsi kepada seluruh umat manusia sejagat tanpa mengira ras perkauman dan agama.
Malah ini merupakan satu pendekatan ekonomi Islam yang adil dalam memakmurkan seluruh rakyat berkonsepkan Islam sebagai rahmatan lil alamin.
Dengan keupayaan membina bisnes, menghimpunkan aset, menambah nilai dengan amalan korporat terbaik dan memupuk daya keusahawanan di kalangan usahawan, sumber dana waqaf korporat mampu membantu memberi kesamaan peluang menjana ekonomi baru dan hasilnya kelak dapat diagihkan untuk kepentingan masyarakat malah dapat dilaburkan semula untuk membina kemakmuran berpanjangan yang dapat memberi manfaat secara bersama kepada rakyat secara berterusan.
Model bisnes waqaf korporat ini telah dibentangkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam perjumpaan khas DPIM bersama beliau baru-baru ini.
Beliau menyambut baik usaha yang diperjuangkan DPIM untuk turut bersama memberi idea membina semula Malaysia Baharu.
Mengambil kata-kata seorang penulis perundangan terkemuka Turki, Omar Hilmi Effendi dalam bukunya, ‘Ithafu’l-Ahlf for Ahkam al-Awqaf’ tentang perundangan Waqaf yang ditulis pada tahun 1307 antara lain menyatakan bahawa" “Yang terbaik dari waqaf adalah untuk mendedikasikan manfaat waqaf kepada perkara-perkara paling mendesak kepada ummat ketika ini.”
Sehubungan itu, DPIM bersedia menjadi pemudahcara dan terbuka berkongsi model bisnes waqaf korporat dengan semua syarikat korporat yang berhasrat mendalami waqaf korporat.
Dengan lebih banyak penglibatan syarikat besar berwaqaf secara korporat maka jurang pendapatan dan ketidakseimbangan ekonomi rakyat dapat dirapatkan dan negara yang lestari dapat dibangunkan sejajar agenda pembangunan nasional 2030.
Sumber Rujukan:
i. Ali Hashim, M. (2015) Strategi Jihad Bisnes. Kuala Lumpur : Telaga Biru
ii. Institut Masa Depan Malaysia (2019) Ke Arah Mencapai Kemakmuran Bersama di Malaysia : MASA
iii. Omar Hilmi, E. (1307) Ithafu’l-ahlaf fi ahkami’l-evkaf, Istanbul, p.15.
* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#Agenda Pembangunan Nasional
#Dewan Perdagangan Islam Malaysia
#dpim
#Kolumnis AWANI
#waqaf korporat