Wanita warga Kanada dikhuatiri positif koronavirus dibawa ke HKL
Rahimah Abdullah
Februari 5, 2020 17:05 MYT
Februari 5, 2020 17:05 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan telah menerima laporan berhubung seorang wanita warga Kanada yang dikhuatiri dijangkiti Novel Koronavirus (2019-nCoV) di sebuah pusat konvensyen di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, wanita itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pengesahan dan rawatan.
Kementeriannya akan memberikan perkembangan semasa mengenai keadaan wanita berkenaan.
“Ya saya pun baru dapat berita itu. Saya kira pasukan Hazmat (Unit Bahan Berbahaya) itu datang dalam entiti yang lengkap (semasa kejadian) dan kita perlu berjaga-jaga.
"Mereka telah dibawa ke hospital HKL. Kami akan maklumkan perkembangannya. Kami akan berkomunikasi dengan pihak media," katanya dalam satu sidang media di kementeriannya di sini pada Rabu.
Kementerian Kesihatan juga akan melakukan semua prosedur yang ditetapkan dalam melakukan pemantauan ke atas wanita berkenaan.
Beliau mengulas beberapa keping gambar yang tular di media sosial dan menunjukkan pasukan Hazmat berada di bangunan KLCC susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu didakwa disyaki positif 2019-nCoV.
#coronavirus
#Hazmat
#Hospital
#kesihatan
#Kuala Lumpur
#Media
#media sosial
#menteri
#suspek
#wanita