Wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan bogel
Bernama
Januari 17, 2019 00:12 MYT
Januari 17, 2019 00:12 MYT
Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh dalam keadaan bogel di rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Taman Universiti, di sini, kira-kira 5 petang tadi.
Difahamkan, mayat mangsa yang dikenali sebagai Jamilah Mat Shaari, 33, ditemui di atas katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Adik ipar mangsa, Suridah Sadrum, 34, berkata berdasarkan keadaan mangsa, dia percaya Jamilah disamun sebelum dibunuh.
Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di blok rumah sewanya mendapati Jamilah balik ke rumahnya kira-kira 12 tengah hari tadi.
"Jamilah bekerja sebagai pembantu rumah sambilan di sekitar kawasan ini...dan biasanya dia akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari serta solat sebelum kembali menjalankan tugasnya.
"Tetapi ketika salah seorang adik ipar kami yang tinggal bersamanya pulang daripada kerja, dia mendapati keadaan rumah bersepah dan beberapa barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit, duit serta barang kemas milik arwah juga hilang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Suridah berkata mangsa yang juga ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia 10 tahun telah menyewa di rumah itu bersama empat ahli keluarga yang lain.
"Jamilah yang berasal dari Surabaya, Indonesia telah menyewa di rumah ini lebih 10 tahun lepas bersama adik dan sepupunya," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.45 malam tadi.
Kita akan menyiasat secara menyeluruh punca kejadian ini, katanya.
-- BERNAMA
#bogel
#dibunuh
#Indonesia
#Jamilah Mat Shaari
#Suridah Sadrum
#Taman Universiti
#wanita warga Indonesia