Wanita warga India didakwa perdagang kanak-kanak perempuan

Bernama
Februari 20, 2017 21:31 MYT
Seorang wanita warga India didakwa atas pertuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur bagi tujuan eksploitasi seks. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur bagi tujuan eksploitasi seks, awal bulan ini.
V. Gougabriaye, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Wanita itu didakwa memperdagangkan kanak-kanak warga India berkenaan bagi maksud eksploitasi seks di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Prima, pukul 11 malam pada 1 Feb lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin tidak menawarkan jaminan dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan kes.
Tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Salamiah Salleh atas pertuduhan tinggal di negara ini lebih masa yang dibenarkan selama sembilan tahun dan sembilan bulan sejak 6 April 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #seks #Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007
;