Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di pusat jagaan

Afiezy Azaman
Ogos 1, 2023 09:10 MYT
Kebakaran melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas dengan jenis bangunan struktur kelas A melibatkan kemusnahan 30 peratus. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah pusat jagaan di Seksyen 5, Petaling Jaya, tengah malam tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.13 tengah malam.
Seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas berkeluasan 50 x 100 kaki persegi, jenis bangunan struktur kelas A, melibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan.
"Semasa kejadian, terdapat 14 penghuni termasuk penjaga yang telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.
"Namun terdapat seorang mangsa wanita warga emas berusia 69 tahun, ditemukan rentung di atas katil di sebuah bilik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera bomba sampai ke lokasi.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," ujarnya.
#kebakaran #pusat jagaan warga emas #warga emas #rentung
;