Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah
Bernama
Jun 6, 2023 11:10 MYT
Jun 6, 2023 11:10 MYT
SIBU: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 146 kilometer dari sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata warga emas berusia dalam lingkungan 80-an dan belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai di bawah runtuhan rumah berstruktur tidak kekal itu yang musnah dalam kebakaran yang dilaporkan pada pukul 12.04 tengah malam.
"Rumah itu didiami enam sekeluarga dengan penghuni lain terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya kira-kira pukul 1.57 pagi.
Punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam siasatan, katanya.
-- BERNAMA