Wanita warga emas maut ditikam di kepala oleh anak saudara

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 13, 2024 17:33 MYT
Insiden berkenaan berlaku sekitar jam 11 pagi tadi ketika mangsa dikatakan cuba meleraikan pertengkaran antara anak saudaranya dan ibu kandungnya. - Foto Astro AWANI
KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting oleh anak saudaranya dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Gelung Bubu , Pekan Darat, di sini pada Selasa.
Mangsa yang berusia sekitar 80-an itu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya sejurus kejadian untuk rawatan lanjut namun disahkan telah meninggal dunia.
Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 11 pagi tadi ketika mangsa dikatakan cuba meleraikan pertengkaran antara anak saudaranya dan ibu kandungnya.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu tidak berpuas hati apabila mangsa mencampuri urusan pergaduhan dengan ibunya di dalam rumah itu selepas mangsa yang tinggal bersebelahan datang untuk meleraikan pertengkaran tersebut.
“Suspek yang berang dengan tindakan ibu saudaranya itu dipercayai mengambil gunting di atas meja di rumah berkenaan lalu menikam bahagian kiri kepala mangsa, ibu kandung suspek yang berusia 70-an turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas,” katanya.
Selepas kejadian tersebut, suspek dikatakan turut mengamuk dan bertindak memecahkan cermin tingkap rumah jiran sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum orang ramai menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Suspek kemudian berjaya ditahan anggota polis tidak jauh dari lokasi kejadian.
Difahamkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun dipercayai mengalami masalah mental.
Sementara itu , Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian tersebut namun maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan kemudian.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#warga emas maut #ditikam dengan gunting #anak saudara #Kepala Batas
;