Wanita warga emas maut dikelar

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 27, 2019 00:58 MYT
Polis forensik membuat pemeriksaan di lokasi kejadian pada Khamis. - Astro AWANI
Seorang wanita warga emas maut dipercayai dikelar dalam kejadian samun dan bunuh di rumahnya di Taman Merbau Jaya, Tasek Gelugor pada Khamis.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Loo Nyak Sing, 71, yang tinggal bersendirian, ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta berlumuran darah di dalam bilik di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian disedari anak mangsa yang datang ke rumah tersebut dan mendapati kesan darah dari tingkat bawah serta tingkat atas rumah berkenaan.
“Mangsa tinggal sorang sejak tiga tahun lalu selepas kematian suaminya, namun ia rutin bagi anak-anaknya untuk melawat ibu mereka sekitar jam 4 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat kesan kelar pada bahagian belakang badan serta paha mangsa. Kita juga tidak tolak kemungkinan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa,” katanya.
Noorzainy berkata, kali terakhir mangsa dilihat oleh jirannya adalah sekitar jam 4 petang.
Ujarnya, pasukan forensik masih menyiasat sama ada berlaku kehilangan barang-barang milik mangsa di rumah tersebut.
Pihak polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Kes siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#kelar #kes bunuh #samun #Sungai Dua #Taman Merbau Jaya #warga emas
;