Wanita warga emas maut basikal dilanggar ketika pulang beli sayur di pasar

Abdul Hadi Che Awang
Februari 12, 2021 16:47 MYT
Pawan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut selepas basikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah motosikal di Kampung Berapit, Tikam Batu pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 9.20 pagi itu, Pawan Abdul, 72, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hutan Gelam selepas selesai membeli sayur di Pasar Pagi Tikam Batu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, menjelaskan ketika kejadian mangsa sedang menunggang basikal dari arah Tikam Batu ke Batu Lintang.
"Bagaimanapun, ketika tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Berapit, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki melanggar bahagian depan basikal yang dinaiki mangsa menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Penunggang dan pembonceng motosikal pula mengalami cedera ringan," katanya di sini, pada Jumaat.
Tambah Adzli, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#wanita #warga emas #pawan #dilanggar #basikal #pasar #beli sayur #Tikam Batu #polis #kuala muda #Adzli Abu Shah
;