Wanita warga emas mati dijerut tuala sebelum disamun
Adie Sufian Zulkefli
Februari 25, 2018 04:56 MYT
Februari 25, 2018 04:56 MYT
Panggilan terakhir dibuatnya pada awal pagi dengan pesanan supaya cucunya dijaga dengan baik serta belajar rajin-rajin.
Itu perbualan terakhir Teoh Yean Sin, 41 tahun, dengan ibunya sebelum menemui insan tersayangnya itu mati dijerut di rumahnya di Taman Malaysia, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang Ahad itu, Kau Fu Eng, 71 tahun, ditemui mati dalam keadaan terbaring di bilik bahagian tengah rumah.
Sebaik terlihat sekujur tubuh ibunya dalam keadaan pucat, Yean Sin segera bertindak menghubungi pihak hospital untuk meminta diajar bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, selepas beberapa kali mencuba, ibunya tetap tidak sedarkan diri lalu dia bertindak menghubungi polis.
"Saya cuba selamatkan dia, tetapi tidak boleh, kerana dia dalam keadaan berikat di bilik.
"Lehernya nampak teruk dan kepalanya juga berdarah. Tidak lama selepas tu polis pun datang," kata Yean Sin.
Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Berdasarkan pemeriksaan, kami percaya suspek telah masuk ke rumah berkenaan melalui pintu belakang," katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah bergelut dengan suspek sebelum lehernya dijerut dengan tuala.
"Kami yakin, penjenayah masuk ke rumah ini dengan tujuan untuk pecah rumah, tetapi dia terkejut apabila mendapati ada penghuni di dalam.
"Oleh kerana dia bimbang mangsa akan menjerit, dia bertindak menjerutnya," katanya lagi.
Hasil pemeriksaan polis mendapati sejumlah barang kemas bernilai lebih RM10,000, sebuah tablet dan beberapa utas jam tangan telah hilang, dipercayai dilarikan suspek.
Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti bagaimana suspek dapat masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu belakang tanpa sebarang kesan umpil dan pecah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.