Wanita warga emas hidap demensia pandu lawan arus ditahan di JB
Bernama
Mac 2, 2024 16:22 MYT
Mac 2, 2024 16:22 MYT
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita warga emas selepas dipercayai memandu secara melawan arus di Kilometer 9 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 13 saat di laman sosial X memaparkan sebuah kereta Honda Civic kelabu dipandu secara melawan arus, disyaki berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2.50 awal pagi semalam.
"Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 4.11 petang polis menahan seorang suspek wanita berusia 75 tahun bagi membantu siasatan setelah dipanggil ke Balai Polis Iskandar Puteri susulan tularnya video berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita tersebut tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan wanita tersebut disyaki mengalami penyakit demensia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun lima tahun dan denda maksimum RM15,000.
-- BERNAMA