Wanita warga emas ditemui meninggal dunia, terkunci dalam rumah

Aida Aziz
Julai 15, 2022 00:07 MYT
Anggota bomba membantu membuka pintu sebuah rumah di Puncak Bougainvillea, di sini malam tadi, selepas seorang wanita warga emas dipercayai terkunci di dalamnya. - Foto JBPM Perak
KUALA KANGSAR : Anggota bomba membantu membuka pintu sebuah rumah di Puncak Bougainvillea, di sini malam tadi, selepas seorang wanita warga emas dipercayai terkunci di dalamnya.
Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Nor Khalili Abd Halim, 64, disahkan telah meninggal dunia di dalam salah sebuah bilik di rumahnya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.36 malam.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas pecah pintu.
"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu.
"Mangsa dipercayai terkunci dalam rumah dan ditemui di dalam bilik. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dan operasi yang diketuai oleh PBK II Syed Azrul Hisam Syed Abdul Aziz itu tamat pada jam 10.17 malam.
#warga emas #Puncak Bougainvillea #Nor Khalili Abd Halim #BBP Kuala Kangsar
;