Wanita warga emas ditemui maut dalam rumah disyaki dibunuh

Abd Razak Mohd Ali
Jun 13, 2024 21:45 MYT
Pada Rabu, seorang wanita warga emas ditemukan maut di ruang tamu rumahnya di kawasan Taman Mujur dekat Bercham di Ipoh. - Gambar fail/Sinar Harian
IPOH: Seorang wanita warga emas yang ditemukan maut di ruang tamu rumahnya di kawasan Taman Mujur dekat Bercham di sini pada Rabu, disyaki dibunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, susulan itu, kes yang awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bedah siasat yang dijalankan lebih kurang jam 9.15 pagi Khamis di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian adalah kecederaan pada kepala dan tengkuk disebabkan trauma objek tumpul," katanya dalam kenyataan malam tadi.
"Siasatan kes pada awalnya dijalankan di bawah SDR telah diklasifikasikan semula atas kesalahan membunuh dengan niat," tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan reman anak lelaki mangsa berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Abang Zainal Abidin berkata, suspek itu direman selama tiga hari sehingga 14 Jun.
Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan pelbagai jenayah dan lapan rekod kes dadah.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran.
#warga emas #Abang Zainal Abidin Abang Ahmad #warga emas dibunuh #anak lelaki direman