Wanita warga emas ditahan jadi 'transporter' seludup baju sukan bernilai RM61,000
Sinar Harian
Februari 26, 2025 09:30 MYT
Februari 26, 2025 09:30 MYT
Seorang wanita warga emas ditahan PGA Pengkalan Chepa dipercayai menjadi 'transporter' penyeludupan baju sukan tiruan pelbagai jenama di Kampung Geretak, Rantau Panjang pada Selasa. - Foto PGA
RANTAU PANJANG: Seorang wanita warga emas ditahan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dipercayai menjadi 'transporter' penyeludupan baju sukan tiruan pelbagai jenama di Kampung Geretak di sini pada Selasa.
Perbuatan wanita terbabit dikesan kira-kira jam 2.30 petang semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas memandu sebuah pikap jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan telah menemui lebih 405 helai baju sukan pelbagai jenama bernilai RM61,000 dipercayai tiruan.
"Hasil semakan dengan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) mengesahkan barangan itu adalah tiruan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 dan suspek bersama barangan rampasan telah dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Taman Bakti untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian