Wanita warga emas dibakar menantu, disahkan meninggal dunia
Astro Awani
November 24, 2018 23:49 MYT
November 24, 2018 23:49 MYT
Polis mengesahkan wanita warga emas yang kritikal dibakar menantu lelakinya dalam kejadian kebakaran di Taman Cegar, Simpang Ampat, semalam meninggal dunia jam 3.05 petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, memaklumkan mangsa, A Aganasi Mary, 69 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.
Shafee berkata, Aganasi cedera parah selepas menantu lelakinya A David, 51, bertindak menyimbah mangsa dengan petrol sebelum membakarnya dan rumah dua tingkat mereka itu.
Aganasi terbakar 90 peratus dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang manakala menantunya ditemukan maut di tingkat atas rumah mereka.
Siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan berada dalam keadaan mabuk dan marah sewaktu menyimbah petrol ke arah ibu mertuanya yang ketika itu sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama isteri dan anak perempuannya.
Lelaki itu kemudian berlari ke tingkat atas ketika api memenuhi ruang tamu dan dia ditemukan rentung di hadapan pintu bilik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM).
Shafee berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan .