Wanita warga China maut kereta rempuh pembahagi jalan

Abd Razak Mohd Ali
Februari 1, 2019 22:01 MYT
Mangsa yang dikenali sebagai Zhang Wenzhuo, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dikatakan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan. - Foto ihsan JBPM
Seorang wanita warga China maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), dekat sini, petang Sabtu.
Mangsa yang dikenali sebagai Zhang Wenzhuo, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dikatakan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
Tiga mangsa yang cedera ialah pemandu, Lee Soon Heng, 31, berasal dari Klang, Selangor, Pan Qi Ngijang, 58 dan Pan Mingxiu, 87, yang mana kedua-duanya berasal dari China.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu yang melibatkan kereta jenis Toyota Vios kira-kira pukul 5.14 petang.
“Siasatan awal tempat kejadian mendapati kereta dari Kuala Kangsar hendak menghala Pulau Pinang dan apabila sampai di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sendiri ke kiri jalan lalu melanggar penghadang di bahu jalan sebelah kiri dan kemudian masuk ke dalam longkang,” katanya di sini.
Menurutnya, tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat esok.
“Kedua-dua lelaki dan wanita yang duduk di belakang cedera parah di kepala dan masih tidak mampu bercakap manakala pemandu tidàk parah,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar memberitahu, anggota jentera A1-10 Kuala Kangsar dan jentera EMRS A2-02 yang tiba di tempat kejadia bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dari dalam kenderaan ke tempat yang selamat dan menyerahkan kepada pasukan perubatan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zainal Taken tamat pada kira-kira jam 6.35 petang.
#Hospital Kuala Kangsar #Hospital Taiping #kemalangan #Kuala Kangsar #Lebuhraya Utara Selatan #Lee Soon Heng #Pan Mingxiu #Pan Qi Ngijang #pembahagi jalan #PLUS #Toyota Vios #Zhang Wenzhuo
;