Wanita warga asing patah kaki terjun bangunan semasa serbuan
Astro Awani
Julai 5, 2021 06:58 MYT
Julai 5, 2021 06:58 MYT
KUALA LUMPUR: 14 wanita warga Thailand dipercayai dijadikan pelacur ditahan dalam serbuan Op Noda di dua premis sekitar ibu kota, pada Isnin malam.
Serbuan dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kuala Lumpur itu berhasil atas aduan awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Nasri Mansor berkata dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Taman Setapak Indah, tujuh wanita warga Thailand dicekup.
Mereka ditahan dalam pemeriksaan di tujuh bilik berasingan.
Ketika markas maksiat itu digempur, seorang daripada wanita berkenaan patah kaki akibat bertindak nekad terjun dari tingkat satu premis berkenaan dalam cubaan meloloskan diri.
Wanita itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam serbuan kedua di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, Cheras, polis menahan tujuh lagi wanita warga Thailand kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Seorang lelaki yang menjadi penjaga premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua mereka berusia 29 hingga 34 tahun itu dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Manakala seorang pegawai kanan polis yang tercedera semasa operasi itu dijalankan, dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) bagi menerima rawatan.