Wanita wajar dihargai atas jasa, pengorbanan dan pencapaian mereka - Noraini

Bernama
Jun 2, 2024 04:00 MYT
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat menghadiri "Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA" yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Golongan wanita yang merupakan tonggak sesebuah institusi kekeluargaan, adalah penting untuk dihargai dan disanjungi atas segala pengorbanan yang dilakukan mereka.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad mengalakkan lebih banyak program penganugerahan kepada golongan berkenaan dianjurkan pada masa akan datang.
"Kita mengalu-alukan semua pihak termasuk kerajaan dan juga NGO (badan bukan kerajaan) untuk menganjurkan program bagi menghargai pengorbanan wanita sebab mereka menjadi sumber inspirasi terutamanya generasi muda dan jasa mereka adalah sangat tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan NONA di sini pada Ahad.
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyerikan majlis itu.
Sebanyak 12 wanita hebat telah diiktiraf sebagai penerima anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA pada majlis yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.
Antara penerima anugerah berkenaan, Tana Letchumy Muthoo berkata beliau amat bersyukur tanggungjawabnya sebagai seorang suri rumah membesarkan empat anak perempuan dihargai.
"Saya rasa tersentuh program ini dapat menghargai nilai para suri rumah tangga seperti saya kerana menjadi seorang suri rumah bukanlah suatu perkara yang mudah, malah ia memerlukan tahap pengorbanan dan kesabaran amat tinggi," katanya yang merupakan ibu kepada doktor terkenal di media sosial Dr Santhi Santherasegapan.
Sementara itu, bagi pejuang kanser tulang selama 16 tahun, Zeeda Aziz yang turut menerima anugerah itu berkata beliau berasa terharu perjalanan hidupnya yang penuh dengan cabaran dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain.
"Semua yang saya usahakan adalah untuk empat anak saya dan saya terus bergerak ke hadapan dalam kehidupan supaya anak-anak saya dapat rasa bangga mereka mempunyai seorang ibu yang kuat seperti saya," kata Zeeda yang telah kehilangan sebelah kakinya akibat penyakit itu.
Beberapa pelakon tanah air seperti Bella Astillah dan Datuk Fauziah Nawi turut menerima anugerah berkenaan.
Majlis turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi veteran Salamiah Hassan bersama anaknya Atilia Haron dan juga Mila Jirin.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 wanita itu dianjurkan secara bersama oleh Majalah Mingguan Wanita dan NONA serta Al Kauthar Eduqids (AKE).
-- BERNAMA
#Institusi kekeluargaan #pengorbanan wanita #sumber inspirasi #NGO
;