Wanita video Raya bersama anjing direman

Teoh El Sen
Ogos 1, 2013 13:28 MYT
Bekas pelatih anjing Chetz Togom, atau nama sebenarnya Maznah Mohd Yusof, direman selama dua hari selepas ditahan oleh polis Bukit Aman sejak petang Rabu.
Perintah reman itu akan berakhir Jumaat ini.
Peguam G. Visvanathan Nair yang mewakili Chetz, berkata anak guamnya telah dihadapkan ke Mahkamah Segamat pagi tadi.
Menurut Visvanathan, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari keatas jurutera berusia 38 tahun itu.
“Saya membantah permohonan reman itu, dan meminta dia dibebaskan segera kerana tiada sebab untuk pihak polis memanjangkan siasatan,” katanya.
Antara hujah Visvanathan adalah Chetz telahpun disoal siasat dan percakapan sudah dirakam oleh Suruhanjaya Malaysia Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis daripada Cawangan Khas sejak pagi Rabu.
“Dia pun telah mengaku sebagai pembuat video tersebut dalam satu laporan polis dan tiada keperluan polis untuk membuktikan perkara itu.”
“Video itu pun boleh diakses oleh sesiapa sahaja dalam internet.”
Beliau juga telah berhujah bahawa adalah tidak adil untuk polis membawa Chetz ke Segamat atas alasan satu laporan polis telah dibuat di situ.
“Jika terdapat 100 laporan polis di seluruh Malaysia, adakah anak guam saya akan dibawa ke 100 tempat?”
Menurut Visvanathan, polis telah berjanji kepada mahkamah bahawa sekiranya ada laporan baru, siasatan akan tetap dikendalikan oleh polis Segamat.
Chetz disiasat di bawah Akta Hasutan serta Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan dengan video kontroversi di mana dia dipapar meraikan hari raya bersama dengan anjing peliharaannya.
Sebelum ini peguam N. Surendran berkata bahawa pemindahan Chetz ke Johor ibarat satu hukuman dan tidak seharusnya dilakukan.
Sejak tengah hari semalam, pihak berkuasa mula bertindak, Chetz telah disoal siasat oleh polis Cawangan Khas di balai polis Bukit Sentosa dan SKMM.
SKMM juga telah pergi ke rumahnya di Bukit Beruntung untuk merampas komputer riba miliknya dan beberapa barangan lain.
Chetz mendakwa telah memuat naik video hari raya bersama tiga ekor anjing tiga tahun lepas di YouTube, tetapi mula mendapat perhatian sejak Selasa kerana didakwa menghina agama Islam.
Klip video itu memaparkan Chetz membawa anjingnya bersiar-siar sekitar perkarangan masjid dengan suara latar takbir Raya.
Rakaman selama 1 minit 44 saat itu, turut menunjukkan Chetz membersihkan dirinya sebelum menghidangkan kuih raya kepada anjing-anjingnya.
Chetz telah menafikan bahawa dia telah melakukan apa-apa kesalahan dan kerana itu beliau tidak akan memohon maaf.
#Bukit Aman #chetz togom #Maznah Mohd Yusof #visvanathan nair
;