Wanita Uzbekistan dakwa disamun pemandu teksi

Bernama
Julai 20, 2016 12:55 MYT
Seorang wanita Uzbekistan mendakwa disamun dan dicederakan oleh pemandu teksi di Bukit Beruntung. -Gambar hiasan
Seorang wanita Uzbekistan mendakwa disamun dan dicederakan oleh pemandu teksi di Bukit Beruntung, dekat sini hari ini dalam apa yang dipercayai kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh 48 jam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata mangsa berusia 23 tahun itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk selepas keluar dari sebuah pusat hiburan di ibu kota sekitar 2 pagi, sebelum menahan sebuah teksi untuk pulang ke rumah di Jalan Pinang di sini.
"Dia mendakwa pemandu teksi itu kemudiannya mengambil beg tangan mengandungi wang tunai RM100 dan telefon bimbit sebelum menolak keluar mangsa daripada kenderaan itu di Bukit Beruntung," katanya kepada Bernama.
Mangsa dikatakan cuba mengejar teksi itu namun tidak berjaya dan selang beberapa minit kemudian, teksi itu berpatah balik dan pemandunya menolak sekali lagi mangsa sehingga terjatuh ke dalam longkang.
Wanita itu yang cedera di tulang belakang dijumpai orang awam pada kira-kira 9.30 pagi di Jalan Jenjarum 1C, Bukit Beruntung, kata Supramaniam.
Wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.
Supramaniam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa menyamun.
Isnin lalu, seorang wanita 28 tahun dilaporkan dicederakan di telinga ketika disamun pemandu teksi yang dinaiki, berdekatan sebuah kompleks beli-belah di Jalan SS 16, Subang Jaya, Selangor.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM) Kamarudin Mohd Hussain ketika dihubungi Bernama berkata dua kes itu perlu disiasat secara terperinci bagi mengheret pelaku ke muka pengadilan.
"Kita tidak tahu sama ada kejadian itu dilakukan pemandu teksi atau 'perompak' yang menyamar sebagai pemandu teksi. Kita serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata saringan perlu dilakukan pihak bertanggungjawab bagi memastikan pemandu teksi bebas daripada rekod jenayah lampau.
#Bukit Beruntung #dicederakan #disamun #pemandu teksi #Supramaniam #wanita Uzbekistan