Wanita UMNO tidak setuju pemansuhan Akta Hasutan 1948

Bernama
November 9, 2014 07:23 MYT
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpendapat Akta Hasutan 1948 masih diperlukan bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara. - Gambar fail
Pergerakan Wanita Umno tidak bersetuju dengan pemansuhan Akta Hasutan 1948 kerana berpendapat akta itu masih diperlukan bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara.
Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ketiadaan akta itu pada masa hadapan dibimbangi boleh mencetuskan situasi yang membimbangkan khususnya yang melibatkan isu perkauman, agama dan institusi kesultanan Melayu.
"Punca berlaku isu-isu ini disebabkan hasutan, ditambah pula dengan kebebasan yang ada di media sosial," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemahaman Akta Hasutan 1948 anjuran Biro Perundangan dan Advokasi Wanita Umno di sini, Ahad.
Shahrizat menambah keputusan untuk mengekalkan akta itu dicapai sebulat suara oleh 500 pemimpin Wanita Umno yang hadir pada program itu dan mereka akan menghantar memorandum berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Memorandum itu untuk meminta perdana menteri menangguhkan rancangan memansuhkan Akta Hasutan bagi memberi peluang kepada rakyat menyuarakan kebimbangan jika Akta Hasutan digantikan dengan akta lain yang tidak cukup untuk menjamin keselamatan negara," katanya.
Sharizat juga memberitahu Wanita Umno menerusi cawangan di seluruh negara akan melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan rakyat daripada pelbagai kaum yang menyatakan sokongan agar Akta Hasutan dikekalkan.
"Wanita Umno juga akan mengadakan forum dan program untuk mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik bagi memaklumkan tentang risiko yang boleh berlaku jika tiada akta yang dapat mempertahankan keselamatan negara," katanya.
Pergerakan parti itu bercadang mengadakan perbincangan dengan pergerakan wanita parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung cadangan memansuhkan Akta Hasutan, kata Shahrizat.
Najib pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pada 8 Sept lalu, berkata keputusan sama ada hendak mengekalkan Akta Hasutan atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat dengan penuh berhemah dan kerajaan tidak akan melakukan tindakan yang boleh menyebabkan suasana tidak tenteram dalam negara.
#akta #hasutan #memorandum #najib #shahrizat #UMNO #wanita
;