Wanita UMNO sambut baik langkah penangguhan pemilihan parti

Bernama
Julai 2, 2015 21:38 MYT
Shahrizat Abdul Jalil (tengah) beramah mesra bersama kanak- kanak Pusat Jagaan Lambaian Kasih ketika hadir pada Majlis Membeli Belah Hari Raya Golongan Asnaf hari ini. - Foto Bernama
Pergerakan Wanita UMNO menerima baik dan bersetuju dengan cadangan Majlis Tertinggi (MT) yang menanggguhkan pemilihan parti selama 18 bulan, kata Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Persetujuan itu dicapai bagi menentukan semua pemimpin dan juga ahli UMNO menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum akan datang, katanya.
"Cadangan penangguhan pemilihan UMNO ini bermula dari cawangan-cawangan yang telah bermesyuarat. Kami (Wanita UMNO) tidak ada bantahan dan kita terima baik cadangan tersebut", katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis sumbangan Hari Raya kepada golongan asnaf oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Alliance Islamic Bank Berhad dan Jakel di pusat membeli-belah Jakel Mall di sini, hari ini.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan bagi mengukuhkan parti dan memberi keutamaan kepada perkhidmatannya untuk rakyat.
Shahrizat yang juga Pengerusi YKN berkata Wanita mengalu-alukan keputusan ini serta akan menggunakan masa ini untuk mempertingkatkan lagi jentera Wanita.
"Jika lihat usul yang telah dibawa, ia adalah usul untuk menangguhkan pemilihan, idea ini bermula dari peringkat bawahan iaitu cawangan-cawangan dan bukannya dari peringkat atas.
Jadi MT terima sahaja keputusan tersebut. Cadangan ini memang munasabah dan bagi Wanita sebagai jentera utama kami menerima keputusan ini dengan baik sekali", katanya.
Pada majlis itu seramai 206 golongan asnaf daripada Pusat Darul Ulum Furqani cawangan Puchong, Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Madrasatul Quran Yaakubiyah dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul menerima sumbangan.
#majlis tertinggi #pemilihan #Shahrizat Abdul Jalil #UMNO
;