Wanita UMNO gesa pihak berkuasa rampas buku Tommy Thomas
Fareez Azman
Februari 7, 2021 16:47 MYT
Februari 7, 2021 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mengesa pihak berkuasa merampas buku 'My Story: Justice in the Wilderness' kerana dikhuatiri menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.
Demikian tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Jelasnya, buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas itu didakwa mengandungi petikan berbaur hasutan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948.
"Tindakan Tommy (Thomas) menerbitkan buku ini sekali gus memalukan malah menghina sistem perundangan negara. Sebagai seorang pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara, seharusnya beliau sedar akan akta kerahsiaan dan sumpah janji yang dibuat," katanya.
Ujarnya, Wanita UMNO bahagian seluruh negara telah membuat laporan polis dan berharap tindakan segera dapat diambil berhubung perkara itu.
"Sekiranya buku ini tersebar, pasti ia boleh menimbulkan permusuhan antara masyarakat berbilang kaum," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap bekas peguam negara itu berhubung dakwaan memfitnah oleh bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
#UMNO
#undang-undang
#Wanita UMNO
#Malaysia
#akta hasutan
#wanita
#jenayah
#polis
#siasatan
#My Story Justice in the Wilderness
#Tommy Thomas
#Bekas Peguam Negara
#Buku