Wanita Ukraine sorok kokain dalam dubur ditahan di LTAPP
Bernama
Januari 1, 2016 16:04 MYT
Januari 1, 2016 16:04 MYT
Seorang wanita Ukraine ditahan bersama 2.1 kilogram (kg) kokain bernilai RM500,000 di terminal ketibaan domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Supt Guan Beng Kang berkata wanita berusia 22 tahun itu yang pertama kali datang ke Malaysia ditahan pada pukul 11 pagi sebaik tiba kerana didapati dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak polis mengekori wanita berkenaan dan menahannya selepas dia keluar dari tandas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan padanya, ditemui empat tin bekas coklat yang mengandungi 108 bungkusan berisi dadah yang disyaki kokain seberat 2.1 kg.
"Setiap tin coklat itu juga terdapat sejumlah coklat di bahagian atasnya manakala dadah yang dibungkus diletak di bahagian bawah tin.
"Wanita berkenaan yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong turut menyembunyikan sebahagian daripada dadah itu dalam duburnya bagi mengelak di kesan dan mengeluarkannya semasa tiba di lapangan terbang," kata Guan.
Beliau berkata wanita tersebut mengambil penerbangan dari negaranya pada 29 Dis sebelum ke Dubai dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Dis.
"Dia kemudiannya transit di KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang dengan menaiki pesawat domestik. Wanita itu dipercayai bertindak sedemikian sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.
Guan berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sumber dadah itu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia adalah untuk sindiket di negeri ini.
Beliau berkata wanita itu didapati mengetahui dia membawa dadah berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai maklumat kepada siapa ia akan diserahkan kerana hanya akan dihubungi pihak sindiket sebaik dia sampai di Pulau Pinang.
Guan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sindiket di negeri ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa untuk membawa masuk bahan terlarang berkenaan.
"Wanita yang masih bujang dan tidak bekerja itu turut positif dadah. Dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Guan berkata sepanjang musim cuti perayaan dan tahun baharu, pihak polis menempatkan lebih ramai pegawai dan anggota JSJN di LTAPP untuk memantau pergerakan sindiket pengedaran dadah.