Wanita tipu diculik, minta wang tebusan terdesak langsaikan hutang along

Bernama
Oktober 11, 2024 23:30 MYT
Seorang wanita sanggup menipu keluarga dengan mendakwa dia diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM70,000 kerana terdesak untuk menyelesaikan hutangnya dengan 'along'. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang wanita sanggup menipu keluarga dengan mendakwa dia diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM70,000 kerana terdesak untuk menyelesaikan hutangnya dengan 'along'.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata wanita berusia 55 tahun itu ditahan polis kira-kira 3.30 pagi tadi semasa dia ditemui di surau stesen pam minyak di Taman Sri Maharani, Muar Johor.
"Kehilangan wanita itu telah dilaporkan anak lelakinya berusia 22 tahun selepas dia menerima pesanan mesej daripada nombor telefon mangsa yang memaklumkan ibunya telah dilarikan selain meminta wang sebanyak RM70,000.
"Sebelum itu pada 11.15 pagi semalam, wanita itu meminta anaknya menghantar dia ke pasar raya di Peringgit dan kemudian keluar dari kereta kerana mahu membayar bil telefon tetapi dia didapati hilang selepas lebih sejam setengah anaknya mencari di kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata hasil siasatan wanita itu mengaku kejadian 'dilarikan' orang adalah palsu dan berbuat demikian kerana terpaksa berikutan perlu melangsaikan hutang kira-kira RM15,000 yang dipinjam daripada sepuluh along.
Beliau berkata wanita itu mengaku menaiki bas dari Melaka Sentral ke Muar tetapi disebabkan tidak mempunyai wang terpaksa menjadikan surau di stesen minyak itu sebagai penginapan sementara.
"Wanita itu juga mengaku segala penulisan mesej dalam aplikasi WhatsApp itu ditaip oleh dirinya dan polis turut merampas dua telefon untuk siasatan lanjut.
"Dia ditahan reman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
#wanita #tipu diculik #wang tebusan #hutang along
;