Wanita tidak perlu sempurna untuk pegang jawatan tinggi

Saraya Mia
Mac 6, 2020 14:50 MYT
Hari wanita antabangsa tahun ini terjatuh pada hari ahad, 8 mac 2020 dan disambut oleh semua golongan di seluruh dunia - Gambar Fail
Wanita harus mengubah persepsi bahawa mereka perlu menjadi sempurna jika ingin menjawat jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat atau organisasi kerana pemikiran sedemikian sebenarnya menyekat kemajuan golongan itu.
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Bursa Malaysia Berhad, Chong Chye Neo, berpendapat ramai wanita mempunyai persepsi sedemikian yang menjadi antara faktor banyak jawatan tertinggi syarikat serta organisasi tidak dikuasai golongan itu.
Menurut Chong, penanda aras yang terlalu tinggi diletakkan terhadap diri sendiri menjadi punca sebahagian wanita berasa kurang yakin, terutama untuk membabitkan diri dalam sesuatu bidang yang jarang diceburi golongan berkenaan.
“Pada pendapat saya, bagi seorang wanita, sebahagian kita mempunyai jangkaan terlalu tinggi yang tidak realistik. Kita sangka untuk menjadi contoh, kita perlu 100 peratus sempurna.
“Memburukkan keadaan, apabila kita menyangkakan wanita harus mempunyai semua ciri itu, kita letak jangkaan itu pada diri kita sendiri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas pelancaran Hari Wanita Antarabangsa Bursa Malaysia.
Sambutan sempena Hari Wanita Antabangsa yang disambut pada 8 Mac itu, membawa tema ‘Penutupan Jurang Jantina Memberi Manfaat Perniagaan dan Masyarakat’.
Mengulas lanjut, Chye Neo berkata, masyarakat perlu sentiasa sedar bahawa manusia tidak pernah sempurna dan jangkaan yang tidak realistik terhadap golongan wanita atau diri sendiri tidak akan membawa manfaat kepada sesiapa pun.
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IBM Malaysia, berkata golongan wanita perlu lebih berani mengambil risiko untuk mengembangkan karier seterusnya tidak takut untuk melakukan kesilapan.
Katanya, kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang dapat membina keyakinan diri, membolehkan manusia lebih maju.
#Astro #Astro Awani #Bursa Malaysia #Chong Chye Neo #Hari Wanita Antarabangsa #hari wanita sedunia #Malaysia #wanita #wanita tidak perlu sempurna
;