Wanita tertinggal anak dua tahun dalam kereta dituduh di mahkamah esok
Afiezy Azaman
Disember 21, 2023 11:10 MYT
Disember 21, 2023 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang tertinggal anak perempuannya berusia dua tahun di dalam kereta di Ara Damansara 9 November lalu, akan dituduh di Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Wanita berkenaan akan dituduh pada jam 9 pagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Pada 9 November lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, di Petaling Jaya.
Mohamad Fakhrudin berkata, hasil siasatan mendapati, ibu mangsa telah menghantar dua anaknya ke sekolah dan seterusnya pergi ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa, pada jam 7 pagi.
"Ketika tiba di tadika, ibu mangsa berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.
"Ibu mangsa kemudian terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri," jelasnya.