Wanita terperangkap, kereta terbabas jatuh gaung di Tapah

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 24, 2022 14:30 MYT
Mangsa yang berusia 24 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan. - Foto ihsan bomba
TAPAH: Seorang wanita terperangkap apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Batu 7, Jalan Cameron Highlands - Kuala Woh, dekat sini, malam ini.
Mangsa yang berusia 24 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 7.57 malam.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga terbabas jatuh ke dalam gaung anggaran kedalaman 20 kaki.
“Terdapat seorang wanita Melayu berumur 24 tahun terperangkap di dalam kereta dalam keadaan tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba memberikan rawatan awal, sebelum membawa mangsa naik dari gaung menggunakan pengusung.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nurul Hazlin Loon tamat jam 8.57 malam.
#wanita terperangkap #kereta terbabas gaung #Jalan Cameron Highlands #Tapah