Wanita terjun jambatan diselamatkan nelayan
Azee Shafy
Jun 11, 2022 10:10 MYT
Jun 11, 2022 10:10 MYT
KUANTAN: Cubaan seorang wanita membunuh diri dengan terjun Jambatan Tanjung Lumpur, awal pagi tadi, dekat sini, gagal apabila diselamatkan nelayan yang berada di kawasan berdekatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.08 pagi, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Kuantan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, didapati seorang wanita telah terjun dari jambatan dan mangsa berada berdekatan dengan sebuah bot nelayan yang kebetulan berada di situ.
"Pasukan Bomba segera meminta bantuan nelayan itu untuk menyelamatkan mangsa dan dibawa ke tebing sungai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa telah diberikan rawatan CPR oleh pasukan EMRS sehingga keadaan mangsa stabil sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan susulan.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)