Wanita terbunuh, anak dan adik cedera parah kereta langgar pokok

Angelina Sinyang
Januari 10, 2020 20:20 MYT
Mangsa meninggal dunia dunia di tempat kejadian. - Foto ihsan polis
Seorang wanita maut manakala adik dan anaknya cedera parah selepas kereta dipandu hilang kawalan lalu melanggar pokok sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Salim-Stabau di sini pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian pada jam 11.24 pagi itu, mangsa, Christina Umie Jalin, 25, berasal dari Rumah Panjang Tedong Ulu Tuah, Kanowit meninggal dunia dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, Christina yang memandu kereta bersama adik perempuannya, Gelim Jalin, 20, dan anak lelakinya, Chester Daniele, dua tahun dalam perjalanan dari Durin menuju ke pusat bandar apabila kemalangan berlaku.
"Tiba di tempat kejadian kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar pokok dan terbabas masuk ke dalam parit di tepi jalan.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Adik perempuan mangsa turut mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri, manakala anaknya turut cedera dan mengalami luka di bahagian kepala.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan polis masih menyiasat lanjut punca kemalangan.
#Chester Daniele #Christina Umie Jalin #Gelim Jalin #Hospital Sibu #Jalan Salim-Stabau #Kanowit #kemalangan maut Sibu #langgar pokok #Rumah Panjang Tedong Ulu Tuah
;