Wanita temui mayat teman lelaki di ruang tamu
Junaidi Ladjana
Jun 7, 2021 18:48 MYT
Jun 7, 2021 18:48 MYT
BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di rumah sewanya di Jalan Beaufort Jaya, di sini, pada Isnin.
Mayat lelaki berusia 20 tahun itu ditemui oleh teman wanitanya yang berusia 21 tahun sekitar pukul 2.30 petang tadi sebelum dia membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit dilihat kali terakhir oleh teman wanitanya pada jam 8.30 pagi ini ketika dia pulang dari bekerja.
"Teman wanita lelaki itu kemudiannya pergi bekerja sebelum menyedari kejadian itu ketika pulang ke rumah berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca lelaki itu menggantung diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata berkata, mayat lelaki terbabit sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk proses bedah siasat.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.