Wanita tahan sakit lebih tiga jam, cincin tersangkut di jari manis
Adie Sufian Zulkefli
Mac 11, 2024 10:15 MYT
Mac 11, 2024 10:15 MYT
SIK: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih tiga jam selepas jari manis tangan kirinya tersangkut cincin sehingga terpaksa dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, wanita itu tiba di BBP Sik pada jam 8 pagi Isnin untuk meminta bantuan bagi kes cincin sukar ditanggalkan.
“Wanita berusia 27 tahun ditemani suaminya tiba dalam keadaan menahan kesakitan sambil jari manis yang tersangkut cincin itu telah membengkak dan membiru.
“Anggota mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.
"Operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jari mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita supaya berhati-hati ketika memakai aksesori dan jangan pakai jika tidak boleh disarung pada jari mereka.
Beliau berkata, ia boleh mendatangkan kecederaan jika tersangkut atau tersekat terlalu lama.