Wanita serang remaja di Pantai Merdeka ditahan
Sinar Harian
Jun 20, 2022 07:15 MYT
Jun 20, 2022 07:15 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang wanita yang juga operator sebuah kilang ditahan kerana disyaki mendatangkan kecederaan menggunakan senjata ke atas seorang remaja, dalam kejadian di Pantai Merdeka pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan selepas satu laporan diterima dari mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, pada hari yang sama.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam kira-kira 6.22 petang apabila mangsa berada di gerai kakaknya yang menjual mainan di Pantai Merdeka sebelum didatangi suspek.
"Mangsa dikatakan diserang suspek menggunakan kunci kereta sehingga berlaku pergelutan.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami luka di kening kanan selain berasa sengal badan akibat kesan jatuh ditolak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kejadian turut tular di media sosial Facebook sehingga menerima lebih 900 komen serta dikongsi 2,600 netizen.
Turut dimuat naik video durasi 19 saat yang menunjukkan mangsa mengalami luka di bahagian muka setelah diserang suspek.
Menurut Zaidy, serangan dipercayai berpunca disebabkan rasa tidak berpuas hati terhadap keluarga mangsa berkaitan perniagaan.
Jelasnya, mangsa menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
Suspek direman bermula 20 hingga 22 Jun 2022 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian