Wanita sembunyi dalam bonet cuba 'redah' SJR untuk rentas negeri

Shuhada Abdul Kadir
Mei 12, 2021 14:17 MYT
emeriksaan lanjut di belakang bonet mendapati ada seorang perempuan Indonesia dalam keadaan berbaring. - Foto ihsan PDRM
ALOR GAJAH: Tindakan seorang pemandu e-hailing cuba menyembunyikan penumpang di dalam bonet kereta bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk merentas negeri, gagal apabila berjaya dikesan pasukan polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu dikesan ketika sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Katanya, lelaki berkenaan mengaku membawa wanita berusia 28 tahun itu yang juga seorang warga Indonesia dari Nilai, Negeri Sembilan untuk dihantar ke Rembia, di sini.
“Hasil kecekapan anggota bertugas yang terdiri daripada empat anggota polis, dua anggota tentera dan seorang anggota Rela telah membuat pemeriksaan terhadap Perodua Bezza dipandu suspek dan pemeriksaan lanjut di belakang bonet mendapati ada seorang perempuan Indonesia dalam keadaan berbaring.
“Suspek lelaki itu mengaku merupakan pemandu e-hailing dan dalam perjalanan dari Negeri Sembilan ke Melaka untuk menghantar penumpang, manakala wanita berkenaan turut mendedahkan tujuan ke Alor Gajah untuk berjumpa suami yang juga warganegara sama selepas setahun tidak bertemu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut ujar Arshad, wanita berkenaan juga bukan sahaja dikesan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri, malahan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemandu e-hailing dan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pengenalan diri yang sah.
“Lelaki berkenaan juga turut disiasat mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah," tambahnya.
#sembunyi #bonet kereta #rentas negeri #PKP #perintah kawalan pergerakan #SJR #Sekatan Jalan Raya #polis #COVID-19 #Alor Gajah #Negeri Sembilan
;