Wanita sedang pulih dari pembedahan, maut dalam kebakaran rumah

Adie Sufian Zulkefli
Julai 7, 2021 14:56 MYT
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.32 pagi dan sepasukan anggota terdiri 19 anggota dan pegawai dari BBP Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang wanita meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Bohor, Alor Setar, hari ini.
Mangsa, Atmiza Azmi, 50, ditemui rentung dalam bilik air selepas dipercayai cuba menyelamatkan diri.
Menurut adik mangsa, Fazrul Hisham Azmi, 30, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kakaknya berada seorang diri manakala bapanya, Azmi Zain, 71, keluar membeli barangan rumah.
Fazrul dimaklumkan kejadian itu bergegas pulang dari tempat kerjanya di Kepala Batas dan terlihat asap tebal datang dari arah rumahnya.
Menurut anak bongsu dari empat adik beradik itu, dia tidak menyangka sarapan pagi yang dibelikan sebelum dia keluar ke tempat kerja itu adalah hidangan terakhir buat kakak sulungnya.
"Pagi tadi kali akhir (bertemunya) ketika saya beli makanan dan saya tinggalkan sebelum pergi kerja. Memang tak sangka (jadi begitu)... Abah tak ada tadi kerana dia keluar lebih awal," kata Fazrul.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.32 pagi dan sepasukan anggota terdiri 19 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah.
Katanya, sebaik selesai memadam api pihaknya dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam rumah.
Sebaik pemeriksaan dilakukan, anggotanya menemui mangsa dalam keadaan rentung di dalam bilik air.
"Mangsa ini baru sahaja menjalani pembedahan dan dalam keadaan yang tidak begitu cergas... masih dalam keadaan yang tidak berapa sihat.
"Mangsa ditemui di bilik air dan dikategorikan sebagai mati dalam kebakaran dan ditemui dalam keadaan yang rentung," ujar Sayani.
Sayani berkata, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
#kebakaran #wanita maut #rentung #JBPM #Alor Setar #bomba
;