Wanita sarat mengandung, menyusu bayi, janda, 'pengkid' antara ditahan positif dadah
Salim Aziz
Jun 11, 2020 13:50 MYT
Jun 11, 2020 13:50 MYT
Dua wanita yang sedang sarat mengandung ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kediaman masing-masing di Flat Paya Nahu Sungai Petani, pada Rabu.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, kedua-dua wanita terbabit masing-masing hamil lapan dan tujuh bulan.
"Wanita yang hamil lapan bulan itu ditahan bersama suaminya dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
"Seorang lagi wanita hamil tujuh bulan turut ditahan di rumah berlainan yang terletak di bangunan pangsapuri sama dan ujian mendapati dia positif morfin.
"Dia tinggal seorang diri kerana suaminya sedang menjalani hukuman di penjara," katanya di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, AADK juga menahan seorang lagi wanita yang merupakan janda berusia 26 tahun kerana positif Methamphetamine di bangunan sama.
Sementara itu, Arnida berkata, seorang janda berusia 39 tahun ditahan bersama perempuan berpewatakan lelaki berusia 26 tahun yang tinggal dengannya di Kampung Bakar Arang, Sungai Petani.
"Janda terbabit yang mempunyai lima anak berusia satu hingga 14 tahun tinggal di rumah sama, ditahan untuk kali kedua dan siasatan mendapati rumah berkenaan dijadikan sarang penagihan dadah.
"Hasil pemeriksaan, janda berkenaan yang positif dadah jenis methamphetamine masih menyusukan anak bongsunya," katanya.
Arnida berkata, operasi kali ini menyaksikan peningkatan penagih dadah di kalangan wanita dan keadaan itu amat membimbangkan.
Kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998.
#AADK
#akta dadah
#di kalangan wanita
#ibu
#janda
#masalah sosial
#penagihan dadah
#pengkid
#polis
#sosial
#tindakan
#wanita