Wanita rugi RM2,000, cedera akibat diragut
Petrus Bernard
Disember 31, 2022 09:00 MYT
Disember 31, 2022 09:00 MYT
TAWAU: Seorang wanita mengalami kerugian dianggarkan RM2,000 dan cedera di pergelangan tangan selepas diragut di sebuah kedai, di Fajar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berumur 33 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai cedera akibat diragut menggunakan pisau pemotong kertas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semasa kejadian mangsa hanya sendiri di dalam kedai tempatnya bekerja.
Katanya, suspek berumur 20 tahun memakai topi dan pelitup muka datang berpura-pura ingin membeli barang di kedai tersebut.
“Suspek kemudian pergi ke kaunter pembayaran seolah-olah mahu membayar barang yang diambil, namun sebaliknya terus meragut gelang tangan emas mangsa menggunakan pisau pemotong kertas.
“Akibat kejadian itu, pergelangan tangan kiri mangsa luka dan gelang tangannya juga turut dibawa lari suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa terus dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan menerima lima jahitan.
Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.