Wanita rugi RM132,000 ditipu permainan teka bola sepak
Sinar Harian
Januari 17, 2022 09:29 MYT
Januari 17, 2022 09:29 MYT
JEMPOL: Seorang kerani wanita terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM132,000 selepas ditipu menerusi pertandingan teka bola sepak yang disertainya menggunakan satu aplikasi pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, wanita berusia 53 tahun itu berminat menyertai pertandingan itu setelah diperkenalkan oleh rakannya kira-kira jam 2 petang semasa mangsa berada di rumahnya di Jalan Tampin, Bahau.
"Mangsa dijanjikan keuntungan dua peratus mengikut modal dimasukkan untuk setiap teka perlawanan yang disertai.
"Mangsa membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi berkenaan untuk menyertai pertandingan dengan jumlah modal sebanyak RM132,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Chang Hook berkata, mangsa melakukan enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke satu akaun bank untuk memasukkan modal bagi menyertai pertandingan.
"Pada Ahad mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut tetapi akaun tersebut tidak dapat berfungsi dan baki modal pada akaun tersebut telah tiada.
"Mangsa mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
*Berita asal di Sinar Harian