Wanita rugi RM118,880 jadi mangsa 'phone scam'
Amirrul Rabbani
September 20, 2023 12:10 MYT
September 20, 2023 12:10 MYT
TELUK INTAN: Wang simpanan peribadi, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan hasil gadaian barang kemas berjumlah RM118,880 milik seorang wanita berusia 48 tahun lesap selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’, yang menyamar sebagai agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan individu mendakwa sebagai beberapa pegawai polis, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai peniaga berhubung kejadian itu, di sini pada jam 1.49 petang Selasa.
Katanya berdasarkan siasatan awal, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri kononnya daripada LHDN dan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM58,982.
Menurutnya, mangsa kemudian menafikan perkara tersebut sebelum panggilan itu kononnya disambung kepada seorang individu lain yang mendakwa sebagai ‘Koperal Iskandar’.
“Mangsa diminta untuk membuat laporan polis secara atas talian kerana nama mangsa kononnya telah disalahgunakan oleh seorang lelaki yang bernama ‘Wong Bing Soon’ dan menyatakan mangsa telah bersubahat bersama lelaki itu dalam menjalankan perniagaan haram seperti penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.
“Sebanyak RM98,000 (kononnya diperlukan) bagi tujuan siasatan pihak polis dan wang mangsa dikatakan akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan.
“Seterusnya, mangsa disambungkan panggilan telefon kepada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Redzwan’ dan telah menyoal siasat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Adnan berkata suspek mendakwa mangsa akan dikenakan hukuman gantung dan 15 sebatan kerana terlibat dalam kes jenayah berat.
Katanya ekoran itu, wanita itu telah diminta untuk melaporkan diri pada jam 9 pagi, 12 tengah hari, 3 petang, 5 petang dan 9 malam melalui aplikasi Whatsapp pada nombor telefon yang tidak dikenali.
Ujarnya mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘Sarjan Redzwan’ dan meminta mangsa untuk mengisytiharkan semua aset miliknya kepada pemanggil itu pada jam 11.05 pagi, Jumaat lepas.
Menurut Ahmad Adnan, mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai ‘Datuk Sac Amirul’ sebelum meminta wanita itu untuk mengambil gambar kad akaun bank milik suaminya dan menghantar kepada suspek.
“Pada hari yang sama juga, mangsa telah mengeluarkan wang dari akaun ASB sebanyak RM21,500 dan telah memasukkan wang tersebut ke dalam satu akaun bank di atas nama ‘Rokih’. Sebanyak tujuh kali transaksi wang ke atas akaun bank yang sama telah dilakukan oleh mangsa.
“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘Datuk SAC Amirul’ dan mengarahkan mangsa untuk menggadaikan barang kemas miliknya pada jam 1.05 petang, pada Isnin.
“Mangsa telah mengikut arahan tersebut dengan menggadaikan barang kemas milik mangsa. Hasil gadaian barang kemas milik mangsa tersebut bernilai RM97,380,” katanya.
Tambah beliau, mangsa telah telah memindahkankan kesemua wang simpanan miliknya dan wang hasil gadaian barang kemas itu kepada tiga akaun bank berbeza pada tarikh 14 sehingga 18 September dengan jumlah RM118,880.
Ahmad Adnan berkata mangsa telah menceritakan perkara itu kepada suaminya kerana takut dan bimbang susulan insiden itu pada jam 10 malam, Isnin.
Katanya, suami mangsa telah menasihatkan isterinya untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki perkara itu tidak benar dan ia adalah perbuatan ‘scammer’.