Wanita rugi RM1.6 juta terperdaya pelaburan kripto tidak wujud
Bernama
Julai 3, 2024 15:00 MYT
Julai 3, 2024 15:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang wanita kerugian RM1.6 juta selepas terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sesawang.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kejadian bermula selepas mangsa yang berusia 49 tahun dan berasal dari Kuala Terengganu melihat iklan berkaitan kejayaan kewangan seorang lelaki menerusi satu laman web pada Disember tahun lepas.
Beliau berkata wanita itu yang tertarik dengan iklan berkenaan kemudian mengisi borang menerusi laman web itu sebelum dihubungi oleh individu melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp yang berkaitan urusan saham oleh individu berkenaan. Selepas tiga bulan, mangsa sekali lagi dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp lain.
"Mangsa kemudiannya diajar oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan dengan membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata mangsa yang tidak bekerja telah membuat beberapa pelaburan dari tempoh 14 Mac hingga 28 Jun tahun ini dengan menggunakan wang daripada keluarga dan hasil jualan aset.
Beliau berkata mangsa terperdaya selepas dijanjikan pulangan lumayan dianggarkan RM90 juta dalam waktu yang singkat.
"Mangsa masih belum menerima pulangan pelaburan yang dijanjikan sehingga kini dan mula mengesyaki dirinya ditipu setelah semua perbualan mesej dan panggilannya disekat.
"Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun," katanya.
-- BERNAMA