Wanita rugi lebih RM41,000 jadi mangsa penipuan pekerjaan

Bernama
April 9, 2024 17:20 MYT
Mangsa berminat mendapatkan kerja sambilan yang menawarkan komisen bagi setiap tugasan selepas terlihat iklan di laman Facebook. - Gambar hiasan
SIBU: Seorang ejen syarikat penapis air kerugian RM41,870 setelah menjadi mangsa kes penipuan pekerjaan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita berusia 20-an itu berminat mendapatkan kerja sambilan yang menawarkan komisen bagi setiap tugasan selepas terlihat iklan di laman Facebook menggunakan nama profil Sunshine Travel.
Beliau berkata mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera di iklan itu untuk pertanyaan lanjut sebelum dia diarahkan masuk ke satu laman sesawang bagi tujuan pendaftaran dan memulakan tugas.
Menurutnya bagi tugasan pertama, mangsa telah menerima komisen RM100.
"Mangsa kemudian diberikan tugas membuat tempahan 10 hotel berlainan dan membuat pembayaran berjumlah RM41,870 bagi penugasan tersebut dengan 12 kali transaksi dari 2 hingga 3 April ke lima akaun bank tempatan yang berlainan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata setelah membuat pembayaran, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan semula pembayaran modal dan komisennya namun diberikan pelbagai alasan.
Katanya mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #Penipuan Pekerjaan #mangsa rugi #polis
;