Wanita rugi lebih RM350,000, diperdaya 'polis', 'pegawai SKMM'

Bernama
September 13, 2024 23:37 MYT
Polis berkata kejadian berlaku pada 12 Ogos, apabila mangsa berusia 37 tahun dihubungi melalui satu nombor tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai dari MCMC. - Foto hiasan
IPOH: Seorang wanita warga tempatan kerugian RM350,100 selepas diperdaya sindiket yang mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti menyebarkan pelaburan haram.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berlaku pada 12 Ogos, apabila mangsa berusia 37 tahun dihubungi melalui satu nombor tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Mangsa diberitahu mempunyai 44 aduan salah laku mengedar atau menyebarkan pelaburan haram yang dilakukan menerusi nombor telefonnya.
"Dalam masa yang sama, talian telah disambungkan kepada seorang suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek telah mengarahkan mangsa supaya membuat pinjaman bank bagi menyelesaikan urusan jenayah tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Abang Zainal berkata selepas kejadian berkenaan, mangsa telah membuat semakan terhadap akaun peribadi miliknya dan mendapati terdapat pindahan wang ke beberapa akaun tidak dikenali.
"Ekoran kejadian tersebut mangsa telah melakukan laporan polis dan hasil siasatan mendapati kerugian adalah daripada simpanan serta pinjaman wang dilakukan mangsa melalui bank," katanya.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu tidak dikenali," katanya.
-- BERNAMA
#wanita #kerugian #pegawai SKMM #sindiket penipuan
;