Wanita rugi lebih RM100,000 terperdaya skim 'labur RM1,500 untung RM75,000'
Bernama
Ogos 5, 2024 15:50 MYT
Ogos 5, 2024 15:50 MYT
IPOH: Seorang wanita berusia 57 tahun dari Taiping berputih mata apabila kerugian RM117,375 selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi Telegram, bulan lepas.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berusia 57 tahun dari Taiping kerugian RM117,375 selepas terperdaya oleh skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Telegram.
- Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dan melakukan sembilan transaksi pindahan wang ke dalam sembilan akaun bank berbeza.
- Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, selepas mangsa menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pihaknya menerima laporan dari bekas pekerja kilang itu pada 12 tengah hari semalam selepas menyedari dirinya ditipu oleh skim pelaburan dikenali sebagai 'Pelaburan ASNB Investment Malaysia'.
Katanya hasil siasatan awal mendapati mangsa melayari laman sesawang melalui klik pautan di Telegram apabila melihat satu iklan mengenai pelaburan semasa berada di rumahnya pada 16 Julai lalu.
"Mangsa diterangkan oleh suspek berkaitan pelaburan tersebut yang menawarkan keuntungan lumayan sebanyak RM75,000 dengan bermodalkan RM1,500 sahaja.
"Mangsa dijanjikan boleh memperoleh keuntungan dalam tempoh masa tiga hingga enam jam sahaja. Selain itu, modal dan keuntungan yang diperoleh akan dimasukkan terus ke dalam akaun mangsa.
"Setelah diberikan penerangan, mangsa berminat untuk melabur dan telah menekan satu pautan yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nasir berkata mangsa melakukan pindahan wang ke dalam sembilan akaun bank berbeza sebanyak sembilan transaksi dalam tempoh seminggu sejak 16 Julai lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM117,375.
Bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa masih tidak mendapat pulangan serta keuntungan seperti yang dijanjikan.
"Mangsa juga tidak dapat mengeluarkan wang modal dari platform tersebut kerana disekat oleh suspek. Ekoran itu, mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat satu laporan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya.
-- BERNAMA